Rabu, 12 Februari 2014




NASIB HIDUP'

pada 26hb Oktober 2010 pukul 5.46 pagi
Salahkah andai tinggi "nasib hidup' ini,
sedang harus rasa rendah hina bila memiliki daki dosa.
Tak seharusnya merasa rendah diri akibat 'nasib hidup' yang rendah,
kalau telah memiliki sifat-sifat hamba bertaqwa.

Bukan lagi kekayaan sanjungan dunia
dibangga akan dibawa menghadap tuhan,
bukan juga kemiskinan kehinaan dunia
dimalu akan dijinjing menghadap tuhan.
Tetapi yang akan didukung dan yang akan dipikul
adalah pahala dan dosa,
dari amalan hidup sementara didunia.

Mengapa merasa terhina memiliki 'nasib hidup' yang rendah.
Mengapa pula bangga memiliki 'nasib hidup' yang tinggi,
sedangkan semua sama taraf disisi tuhan.
Sama tercela bila melakukan larangannya,
sama terpuji bila bersujud ikhlas melakukan suruhannya.

Janganlah terlalu lalai dengan bahagia dan derita dunia,
sehingga bahagia disisihkan dari derita dunia,
kerana menyangka syurga dan neraka itu juga terasing,
tanpa menghayati dan menginsafi sebab kejadiannya.

Renungilah!
Syurga dan neraka itu juga punyai isi makhluk yang sama,
bukan taraf 'nasib hidup' dunia yang mengasingkannya,
tapi amalan mulia dan kejinya,
yang meletakkannya dalam syurga
atau mencampakkan diri kedalam neraka.

Alangkah malang kita yang berkeyakinan demikian,
yang sebenarnya keyakinan kita itu songsang,
terlupa dengan kehendak dan ketentuan tuhan,
yang lebih maha mengetahui isi rahsia ciptaannya.

Namun tiadalah kurang atau lebih kebesaran tuhan,
andai seluruh alam pun berkeyakinan dan ingkar atas ketentuannya.
Tapi kitalah yang lebih celaka,
walaupun tinggi atau rendahnya 'nasib hidup'!!!.

Nukilan..
bayutimur.